Thursday, July 9, 2009

Misteri jenazah Jacko

KERANDA yang didakwa mengandungi jenazah Jacko dipamerkan di Pusat Staples, Los Angeles kelmarin.
LOS ANGELES - Beberapa akhbar dan laman web hiburan semalam menyiarkan spekulasi berhubung lokasi jenazah Raja Pop, Michael Jackson dikebumikan selepas majlis penghormatan terakhir diadakan di Pusat Staples di sini.
Kebanyakan pihak percaya, mayat Michael yang mesra dengan panggilan Jacko dibawa ke sebuah lokasi rahsia.
Beberapa pihak lagi berpendapat mayat penyanyi itu sudah dikebumikan awal sebelum majlis penghormatan diadakan di Pusat Staples kelmarin.
Mereka yang beranggapan sedemikian percaya keranda keemasan di pusat itu tidak mengandungi mayat Jacko.
KERETA yang didakwa membawa jenazah Jacko tiba di Pusat Staples, Los Angeles kelmarin untuk majlis penghormatan terakhir.
Keranda yang mengandungi mayat Jacko dilihat tidak dihantar semula ke tanah perkuburan Forest Lawn iaitu tempat asal jenazah itu disimpan buat sementara.
Laman web TMZ.com melaporkan bahawa tanah perkuburan Forest Lawn cuma merupakan tempat simpanan sementara jenazah Jacko.
Menurut laman web itu, pihaknya diberitahu bahawa Jacko tidak akan dikebumikan di Forest Lawn.
Laman web itu turut mengambil inisiatif dengan menghubungi pihak pengurusan beberapa tanah perkuburan di sini tetapi gagal menemui maklumat berhubung lokasi pengebumiannya.
Jacko meninggal dunia pada 25 Jun lalu di rumah sewanya di sini selepas degupan jantungnya terhenti ketika berumur 50 tahun.
- Agensi


0 comments :