Thursday, July 9, 2009

Dia di sisi malaikat – Paris

WALAUPUN menjangkau hampir dua minggu Raja Pop, Michael Jackson atau Jacko meninggal dunia namun masih ramai yang tidak mampu berhenti menangisi pemergiannya,
Situasi duka itu dapat disaksikan pada majlis memperingati pemergian figura berusia 50 tahun itu yang diadakan di Staples Center, Los Angeles kelmarin.
Suasana sayu dan hening menyelubungi segenap pelosok dewan bersejarah yang dipenuhi oleh 20,000 peminat termasuk ahli keluarga, rakan selebriti dan kenalan.
Daripada semua persiapan yang dilakukan untuk majlis memperingati Michael termasuk persediaan pasukan keselamatan, kalangan media berebut-rebut untuk mendapatkan berita eksklusif serta barisan artis membuat persembahan, majlis memorial itu sebaliknya dikuasai sepenuhnya oleh anak perempuan Michael, Paris-Michael Jackson, 11.
Dialah 'ratu' pada majlis berkenaan!
KERANDA bersadur emas Michael dibawa oleh abang-abangnya.
Walaupun hanya berdiri di depan mikrofon selama beberapa saat, momen klimaks itu dilihat cukup menakjubkan apatah lagi dengan kehadiran ketiga-tiga anaknya tanpa topeng. Jika sebelum ini Micheal seorang ayah yang pelindung dengan sentiasa melindungi wajah anaknya daripada paparan media, kali ini lelaki bertubuh kurus, tinggi lampai itu tidak lagi mampu untuk bangun melaksanakan tanggungjawab itu.
Daddy - itu panggilan yang dikehendaki Michael sendiri kerana penyanyi itu tidak pernah berkesempatan memanggil ayahnya, Joseph sebagai Daddy yang sembilan orang anaknya memanggil dia Joseph. Lantaran itu, dia tidak membenarkan anak-anak memanggilnya sebagai Michael, tetapi Daddy.
Berpakaian serba hitam, anak sulung Michael, Michael Joseph Jr., 12 (Prince Michael) asyik mengunyah gula-gula getah dan anak bongsunya, Prince Michael II, 7 (Blanket), hanya berdiri sambil memegang buku program serta patung berwajah ayahnya.
Paris yang kelihatan sayu dalam gaun hitam mencipta babak dramatik apabila ahli keluarga yang lain di pentas menyatakan bahawa gadis berusia 11 tahun itu ingin berkata sesuatu dari lubuk hatinya yang suci.
Bergerak secara perlahan-lahan daripada kumpulan keluarga itu dan menurunkan mikrofon sambil ditemani pakciknya, Randy serta makciknya, Janet, Paris mengundang debaran tetamu yang sudah sarat berduka.
"Saya ingin berkata sesuatu," luah Paris bermula dengan suara lemah.
"Luahlah! Luahkan perasaan kamu," Janet pula memberi semangat sambil membelai rambut Paris dengan sepenuh kasih sayang di sisi si kecil itu.



JANET JACKSON menjadi tempat anak-anak Michael meluahkan rasa sedih akibat kehilangan Raja Pop itu.


Paris kemudian meletakkan tangannya di leher manakala satu lagi di mikrofon sebelum memulakan ucapannya.
"Sejak saya lahir, ayah merupakan ayah paling baik yang pernah saya bayangkan," katanya dalam suara hiba dan tersekat-sekat.
Pada masa itu, Rebbie dan Marlon Jackson bergerak menghampiri Paris untuk menenangkan perasaannya yang mula tidak tentu hala.
Tindakan refleks Paris sekadar mampu menutup mata sambil menahan air matanya dan berkata, "Dan saya cuma ingin menyatakan bahawa saya sangat sayang dia (Michael)."


PARIS ditenangkan oleh ahli keluarga selepas tidak mampu menahan hiba.

Hanya itu yang diucapkan oleh anak kecil kepada Raja Pop Dunia itu sebelum dia kemudian memeluk Janet sambil menangis. "Tidak mengapa. Tidak mengapa," kata Janet terus memujuk sambil memeluk Paris dan Prince.
Hadirin yang masing-masing mengenakan busana rona hitam sebagai berkabung di atas pemergian Michael bagaikan terbius dengan ucapan yang tidak pernah dikongsi bersama sebelum ini.
Menyerap emosi duka Paris, ahli keluarga yang lain turut mengalirkan airmata seraya bersimpati dengan anak-anak yang ditinggalkan Michael.
Dalam pada itu, seorang teman Michael iaitu Mark Lester mendedahkan, Paris sebelum ini pernah berkata bahawa bapanya kini sedang berbahagia di alam lain.
"Dua hari selepas Michael menghembuskan nafas yang terakhir, kami sempat berborak bersama. Paris beritahu saya agar jangan terlalu bimbang. Kata Paris, bapanya sekarang tinggal bersama malaikat.
"Dia (Paris) juga meminta untuk tinggal dengan saya. Bahkan dia pula yang memujuk saya supaya tidak bersedih dengan pemergian Michael," katanya seperti dilaporkan Reuters sebelum ini.
Selain daripada ucapan menyentuh perasaan daripada Paris, acara yang turut disaksikan secara langsung oleh lebih 1 bilion penonton seluruh dunia mahu mengingati Michael sebagai penghibur yang muziknya telah menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang serta warna kulit.
"Jangan fokus kepada luka. Fokus kepada perjalanan seni Michael," kata pemimpin hak sivil Al Sharpton dengan penuh emosi.
"Setiap kali dia jatuh, dia berdiri semula," kata Sharpton yang membuatkan semua penonton berdiri dan bertepuk tangan tanda berbangga dengan personaliti lelaki yang dimaksudkan itu.
"Tiada apa yang pelik mengenai ayah anda. Apa yang pelik adalah apa yang ayah anda perlu hadapi," kata Sharpton kepada ketiga-tiga anak Michael.




PARIS mencipta babak klimaks dalam acara memperingati Michael apabila meluahkan rasa sedih dengan kematian ayahnya yang dipanggil 'dady.

Tidak seperti kehidupan Michael, majlis itu tidak dilakukan dengan megah atau pelik. Keadaan di dalam Staples Center suram dengan pelbagai imej besar Michael dipapar pada skrin gergasi.
Majlis dimulakan dengan pembacaan kenyataan kawan baik Michael, Diana Ross oleh Smokey Robinson. "Michael merupakan sebahagian fabrik dalam hidup saya."
Keadaan bertukar hening dan senyap untuk beberapa minit sebelum para artis seperti Kobe Bryant, Spike Lee, Wesley Snipes, Lou Ferrigno, Don King, adik-beradik Kardashian, Magic Johnson, Brooke Shields dan Larry King naik ke atas pentas.
Walaupun lebih 1.6 juta peminat di seluruh dunia berebut untuk mendapatkan tiket memasuki Staples Center, kawan baik Michael, Diana dan Elizabeth Taylor memilih untuk tidak hadir.
Mereka khabarnya tidak punya kekuatan untuk menghadirkan diri pada majlis berkenaan kerana terlalu bersedih.
Mariah Carey kemudian menyampaikan lagu balada Jackson 5, I'll Be There bersama Trey Lorenz. Sementara itu, Queen Latifah membaca puisi tulisan Maya Angelou. Lionel Richie pula mendendangkan lagu gospel, Jesus Is Love.
Para peminat di Staples Center tidak berhenti menjerit nama Michael dan majlis diteruskan dengan persembahan Jennifer Hudson, Stevie Wonder, Usher, Martin Luther King III, Bernice, Sheila Jackson Lee dan Kobe Bryant.
Usher menyampaikan lagu menyayat hati, Gone Too Soon, sebuah lagu yang dirakamkan oleh Jackson sebagai memorial kepada Ryan White, seorang pesakit AIDS.
Daripada barisan artis yang membuat persembahan serta memberi ucapan, hanya John Mayer dan Brooke Shields merupakan artis berkulit putih.
Buat masa ini masih belum jelas apa yang akan berlaku kepada jenazah Michael. Sebelum itu, keluarga Michael mengadakan satu majlis peribadi di tanah perkuburan Forest Lawn Memorial Park.
Tanah perkuburan itu merupakan tempat persemadian nenek Michael dan beberapa artis popular seperti Bette Davis, Andy Gibb, Freddie Prinze dan Liberace. Namun, abang Michael, Jermaine telah meluahkan perasaan untuk mengebumikan jasadnya di Neverland, California.
Majlis itu berakhir dengan perhimpunan keluarga Michael di pentas dan penyanyi koir dengan menyampaikan lagu Heal The World.
Walau apa jua yang terjadi, semoga individu yang bernama Jacko atau nama Islamnya, Mikaeel bersemadi dengan tenang di alam seterusnya.
Paling penting, nama Michael tetap terpahat sebagai sejarah abadi yang tidak mampu diperolok-olokkan dalam direktori seni seantero dunia. Selamat tinggal Michael!



NASIB tiga anak Michael belum dapat dipastikan selepas bapa mereka meninggal dunia.







0 comments :