Wednesday, October 21, 2009

Ayat al-Quran pada kulit bayi

SEBAHAGIAN ayat al-Quran pada kulit Ali.

MOSCOW - Pakar-pakar perubatan di Rusia bingung berikutan penemuan ayat-ayat suci al-Quran dan Arab pada kulit seorang bayi berusia sembilan bulan di Dagestan, Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Ayat-ayat itu muncul pada belakang, tangan, kaki dan perut Ali Yakubov pada setiap malam Isnin dan Jumaat sebelum hilang tetapi diganti dengan beberapa ayat al-Quran baru dua kali seminggu.

Pakar-pakar perubatan Rusia menyatakan, mereka tidak tahu bagaimana fenomena itu boleh berlaku selepas perkataan Allah mula muncul pada dagu bayi tersebut ketika dia berusia beberapa minggu.




MADINA mendukung anaknya, Ali.

Namun, ketika mengulas mengenainya, pakar-pakar perubatan dan keluarga bayi itu mengaku bahawa ayat-ayat suci itu menjelma sendiri pada badan Ali dan bukan ditulis oleh manusia.

"Ali akan berasa kurang sihat manakala suhu badannya meningkat kepada 40 darjah Celsius setiap kali ia berlaku menyebabkan dia menangis," kata ibunya Madina Yagubova.

Kini, tempat Ali dilahirkan iaitu di Kampung Red Oktober, Dagestan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat keanehan itu.


SEPOTONG ayat al-Quran pada peha Ali

Paparan mengenai kejadian aneh di Dagestan, wilayah selatan Rusia yang menjadi sasaran pertempuran antara tentera Rusia dengan pejuang-pejuang Islam itu turut dipaparkan di laman perkongsian video YouTube.

"Ali merupakan tanda kebesaran Tuhan. Kelahirannya di Dagestan bagi menyedarkan penduduknya supaya bersatu," kata seorang ahli parlimen di wilayah itu, Akhmedpasha Amiralaev. - Agensi


Lagi peristiwa sejadah berdiri


MURID-MURID dan penduduk kampung melihat kejadian sejadah berdiri di surau SK Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas semalam.

PASIR MAS - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkut, Repek dekat sini gempar apabila 35 helai sejadah yang berada di dalam surau sekolah berkenaan didapati berdiri.

Mereka mendakwa, bentuk sejadah itu kelihatan seolah-olah lelaki dan wanita sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk antara dua sujud.

Sejadah-sejadah tersebut juga seperti sedang berjemaah dengan sehelai daripadanya seolah-olah menjadi imam dan diikuti dengan 15 helai di ruang sembahyang lelaki dan 19 helai lagi di ruang sembahyang wanita.

Kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 10.55 pagi oleh seorang pelajar tahun dua, Nurul Huda Mat Jali, 8, yang sedang mengikuti kelas pemulihan bersama beberapa pelajar lain di pondok berhampiran surau berkenaan.

"Saya secara tidak sengaja ternampak sejadah seperti sedang bersembahyang melalui celah pintu. Saya beritahu kawan dan dia memaklumkan kepada guru," katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, guru terbabit, Adnan Abdullah, 37, berkata, dia terkejut apabila melihat sejadah-sejadah tersebut berada dalam keadaan berdiri dan seolah-olah menunaikan sembahyang secara berjemaah.

"Keadaan sejadah tersebut seperti berada dalam saf sembahyang, ada yang tinggi dan rendah seperti jemaah dewasa bersama jemaah kanak-kanak," ujarnya.