Saturday, August 15, 2009

Bulan madu terakhir Asri

SAAT kehilangan orang tersayang memang satu hakikat yang pahit- nya sukar ditelan. Terpisah oleh jarak lagikan mengundang seribu keresahan, inikan pula dua insan yang sudah berikrar sehidup semati dipisahkan oleh dua dunia yang berbeza. Hanya kena- ngan lalu menjadi pengganti diri, saat kerinduan datang menyapa.

Kelmarin, seorang wanita bergelar ibu kepada enam cahaya mata berdepan satu takdir, takdir kematian yang kalau boleh mahu ditolak ke kemudian hari.

Dia bukan sesiapa, tetapi kerana pekerti mulia dan nama besar milik Allahyarham suaminya, Asri Rabbani, duka wanita bernama Halizah Shahzan, 39, meresap ke jiwa.

Segagah manakah hati wanita Halizah saat diterpa berita kematian sang suami, itu yang terdetik di fikiran ramai. Kosmo! mendekati isi hati Halizah selepas 24 jam dia kehilangan suami tercinta. Sungguh! Kami kagum sekali dengan ketabahan wanita ini yang lewat bicaranya kelihatan cukup reda dengan tragedi kehilangan yang tiba-tiba bertandang itu.


KHAZANAH seni yang ditinggalkan Asri akan terus menjadi penyubur pahala buatnya

Bagaimanakah Halizah melalui hari pertama tanpa arwah?

HALIZAH: Kehidupan saya sehari tanpa arwah memanglah sedih, siapa yang tidak sedih. Namun yang lebih penting ialah kita perlu teruskan kehidupan. Sudah menjadi satu kelaziman arwah sering pulang ke rumah pada pukul 3 pagi setiap hari. Kalau arwah bawa kunci rumah, arwah akan buka pintu sendiri tetapi selalunya sebagai isteri saya tetap akan bangun dan menyambut kepulangannya. Sebab itu malam tadi (malam pertama arwah meninggal), tepat pukul tiga pagi secara tiba-tiba saya tersedar dari- pada tidur. Terasa seperti dikejut- kan oleh sesuatu. Mungkin roh arwah pulang untuk melihat-lihat keadaan kami sekeluarga di rumah semalam.

Ramai yang ingin tahu bagaimana kehidupan Halizah bersama arwah, pernah bergaduh atau tidak?

Selalunya tidaklah sampai peringkat nak bergaduh sebab kalau ada percangga- han antara kami, arwah akan cepat memujuk, jadi pergaduhan kami tidak sebesar mana, saya pun tak jadi nak marah. Cuma saya selalu mengawasi arwah dari segi syariat seperti peminat perempuan. Itu saja, yang lain tidak ada. Arwah seorang yang lembut, susah hendak marah.





KENANGAN akhir arwah bersama isteri di Hudaibiah, Mekah ketika dalam percutian menunaikan umrah sambil berbulan madu

Kenangan paling manis bersama arwah?

Alhamdulillah kenangan manis terakhir saya bersama arwah ialah kami dapat mengerjakan umrah sambil berbulan madu di Mekah pada cuti sekolah yang lepas pada bulan Jun. Saya tidak tahu itu petanda terakhir kerana sebelum itu arwah ada cakap untuk bawa saya mengerjakan umrah bersamanya kerana dia memang selalu buat umrah tetapi saya tidak pernah ikut. Hasrat pergi umrah bersama itu tidak pernah tercapai kerana ada saja halangannya. Masa cuti sekolah itu buat pertama kali saya mengerjakan umrah dan dapat pergi bersamanya.

Apakah itu kenangan paling manis sepanjang perkahwinan?

Ya, itu salah satu di antaranya. Dan kenangan itu tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.


ANAK-ANAK dan isteri setia menemani di sisi saat jenazah Allahyarham Asri dikafankan.

Apakah pesanan arwah kepada Halizah dan perancangan masa depan untuk anak-anak?

Arwah bukan jenis yang suka mengikat sesuatu, cuma arwah kata arwah nak anak jadi ahli tahfiz, selebihnya pandai-pandai sayalah untuk mengarahkan anak ke arah itu. Mungkin bila anak sudah besar kalau mereka ada bakat macam arwah, saya tidak menghalang tetapi harus utamakan pelajaran terlebih dahulu.

Adakah di antara anak-anak yang bakal ikut jejak langkah arwah sebagai pendakwah melalui irama nasyid?

Apa yang saya lihat belum ada lagi yang menunjukkan bakat, sebab mereka semua pemalu seperti arwah.



DALAM ketabahan, Halizah tidak mampu menahan kesedihan.

Bulan Ramadan bakal menjelang, bagaimana agaknya situasi anak-anak?

Bulan puasa atau raya sama sahaja bagi saya, Allah sudah aturkan semuanya. Sudah jalan- nya begini, kami kenalah terima. Buat masa sekarang saya kena pentingkan pelajaran anak- anak, itulah yang arwah mahu- kan. Kalau ikutkan hati memanglah terasa, tetapi yang pergi tetap akan pergi dan tidak akan kembali lagi. Insya-Allah, kita harap semua orang akan mendoakan yang terbaik buat arwah di alam barzakh.






Tupai bergaya di depan kamera


GAMBAR menunjukkan seekor tupai berada di depan kamera Mellisa dan suaminya.

AMAN NEGARA BANFF - Seekor tupai sempat melompat dan berdiri di depan kamera semasa Mellisa Brandt dan suaminya merakamkan gambar mereka di Tasik Minnewanka, Kanada, lapor sebuah akhbar semalam.

Aksi haiwan itu menyebabkan gambar tupai tersebut turut dirakamkan secara tidak sengaja.

"Kami meletakkan kamera di atas batu dan bersiap sedia untuk gambar kami dirakamkan secara automatik apabila tiba-tiba seekor tupai datang kerana tertarik dengan bunyi kamera," kata Mellisa.

Menurutnya, dia dan suaminya ketawa apabila melihat aksi tupai itu kerana ia merupakan peristiwa yang mungkin berlaku sekali dalam seumur hidup mereka. - Agensi


Mekanik dakwa lihat tiga kepala lembaga pelik


GAMBAR lembaga misteri yang dirakam Rosli menggunakan telefon bimbitnya ketika kejadian kebakaran di Bukit Subang, Shah Alam Ahad lalu.

SHAH ALAM - "Ketika anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran di sebuah rumah tinggal, secara tiba-tiba muncul tiga kepala lembaga misteri di ruang udara dan satu daripadanya sempat saya rakamkan dengan telefon bimbit."

Demikian dakwaan seorang mekanik, Rosli Sabri, 38, semasa menceritakan pengalaman yang menakutkan apabila terlihat tiga kepala lembaga misteri dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah tinggal di Bukit Subang di sini Ahad lalu.

Rosli ketika ditemui di bengkelnya di sini semalam berkata, dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, rumah yang ditinggalkan sejak tujuh tahun lalu itu hangus selepas disambar api yang merebak dari sebuah bengkel bersebelahan rumah tersebut.

"Pada mulanya tiada sebarang kejadian aneh berlaku tetapi apabila anggota bomba memancutkan air pada rumah yang terbakar, secara tiba-tiba muncul tiga kepala lembaga dalam tempoh kira-kira seminit sebelum hilang.

"Malah ada cerita mengatakan anggota bomba terpaksa menghentikan kerja-kerja memadam api beberapa minit kerana diganggu makhluk halus," ujarnya.