Tuesday, July 28, 2009

Michael disangka orang tua uzur

LOS ANGELES: Sekumpulan anggota paramedik yang mula-mula tiba untuk merawat Michael Jackson di rumahnya berkata, mereka mengambil masa lebih 10 minit sebelum menyedari lelaki yang cuba diselamatkan itu sebenarnya adalah Raja Pop dunia.

Pada peringkat awal, kata mereka, lelaki yang terbaring kaku di depan mereka tidak lebih daripada seorang lelaki tua biasa.

Seorang daripada mereka berkata, Michael seperti lelaki tua yang sangat uzur dan tidak mampu berbuat apa-apa.

“Kami mahu mengesahkan Michael mati ketika itu tetapi dibantah pakar kardiologi yang ada di situ,” katanya.

Minggu lalu, akhbar mendedahkan Michael, 51, tidak lagi bernyawa apabila anggota paramedik tiba di kediamannya di Los Angeles.

Beberapa laman web AS pula melaporkan, anggota paramedik gagal mengesan sebarang pergerakan pada jantung Raja Pop itu ketika mereka tiba.

Bagaimanapun, pakar kardiologi Michael, Dr Conrad Murray, yang ada bersamanya ketika itu berkeras mahu penyanyi berkenaan dipindahkan ke hospital.

Dia juga enggan membenarkan anggota paramedik mengambil alih usaha menyedarkan semula Michael.

Dr Murray kini disiasat kerana disyaki terbabit menyebabkan kematiannya.

Dipercayai, ubat pelali berkeupayaan tinggi yang menyebabkan kematian Michael, Propofol, ditemui disembunyikan dalam almari bilik didiami Dr Murray di rumah berkenaan.

Minggu lalu, media melaporkan, sebelum kematiannya, Michael dikatakan terlalu ingin membeli sebuah rumah besar di atas sebidang tanah kira-kira empat hektar yang dirancang dibangunkan sebagai kawasan digelar Wonderland.

Selain dilengkapi garaj untuk 20 kereta, air terjun juga dibina di dalam kawasan itu bersama kawasan beriadah rahsia di bawah tanah.

Ia juga menyediakan dua bilik kebal.

Disebabkan harganya terlalu mahal untuk Michael ketika itu (RM88.5 juta), dia berharap perolehan daripada konsert kemunculan semula di London pada minggu lalu mampu merealisasikan impiannya memiliki rumah berkenaan. - Agensi

0 comments :