Rusa terkecil ditemui
KATMANDU - Rusa terkecil di dunia, seekor katak terbang dan ikan keli melekat pada batu merupakan sebahagian daripada lebih 350 spesies baru hidupan yang ditemui di banjaran Himalaya sejak sedekad lalu, kata Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) semalam.
Pertubuhan pemuliharaan haiwan itu berkata, semua penemuan itu menjadikan banjaran Himalaya sebagai antara kawasan paling kaya dengan kepelbagaian biologi di dunia.
Bagaimanapun, beberapa penyelidik memberi amaran kepelbagaian habitat yang menyokong kehidupan beraneka spesies itu kini diancam perubahan cuaca selain pembangunan tidak terkawal di Himalaya.
"Kepelbagaian hidupan dan kebudayaan yang ditemui di sini akan lenyap untuk selama-lamanya jika kesan perubahan cuaca gagal ditangani," kata Ketua Kempen Inisiatif Hidupan Himalaya WWF, Tariq Aziz.
Kempen pemuliharaan tersebut merangkumi tiga negara di banjaran Himalaya iaitu India, Nepal dan Bhutan.
Hampir 75 peratus spesies baru yang ditemui WWF di rantau tersebut antara 1998 dan 2008 terdiri daripada tumbuhan termasuk 21 orkid baru.
Turut ditemui spesies rusa terkecil di dunia dinamakan muntjac yang hidup di utara Myanmar.
Beberapa saintis pula menemui katak yang menggelongsor di udara dengan menggunakan selaput pada kakinya dinamakan Rhacophorus di utara India selain dua ekor ikan keli yang memiliki pelekat pada badannya dan mampu melekat pada batu di sungai. - AP
0 comments :
Post a Comment